Elak PKPD, 10 keluarga tinggalkan rumah

0
1

SEBANYAK 10 keluarga di Kampung Pelagat 3 Terengganu, didapati meninggalkan kediaman masing-masing sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 27 Mei ini.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, kesemua keluarga terbabit dapat dikesan semula.

Katanya, tindakan mereka itu boleh mengakibatkan risiko lebih besar penularan Covid-19 berlaku kepada orang lain.

“Pagi tadi saya sempat turun ke Kampung Pelagat 3 untuk meninjau aktiviti saringan Covid-19 di sana yang telah dikenakan PKPD bermula pada 14 Mei (semalam) hingga 27 Mei 2021.

“Sungguh tidak diduga dek akal bila mana 10 keluarga telah meninggalkan Pelagat 3 sebelum PKPD dimulakan.

“Pergerakan ini memberikan risiko untuk menularkan Covid 19 ke tempat lain pula. Dikhabarkan juga 10 keluarga ini berjaya dikesan semula,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, kini didapati sebanyak 54 kes positif Covid-19 telah dikesan setakat ini di kampung berkenaan.

“Sehingga ke hari ini, Besut telah melaporkan sebanyak 1,094 kes Covid-19, tertinggi di Terengganu.

“Bilangan kes aktif pula seramai 393 orang dengan angka kematian sebanyak 11 orang.

“Sebanyak 11 kluster sedang dipantau di Besut. Kluster terbesar adalah Kluster Tok Has dengan jumlah kes sebanyak 204 orang diikuti Kluster D’ Lahar dengan jumlah kes sebanyak 151 orang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa wabak Covid-19 ini berterbangan melalui titisan semasa bercakap atau bernafas.

“Apalagi bila bersin atau batuk. Berpusu-pusu virus keluar mencari host baru. Analoginya sangat mudah. Jika pakai pelitup muka, virus tu tak hinggap kat kita.

“Jika duduk jarak virus tu pun tak sampai kat kita juga. Ringkasnya kepatuhan SOP mengurangkan risiko jangkitan Covid 19,” katanya.

Namun, beliau berkata, orang ramai mengambil mudah kebolehjangkitan Covid-19 ini.

“Bila disahkan positif baru keluh kesah. Sebelum itu ramai orang buat tidak kisah. Akhirnya semua orang susah.

“Warga Besut dari semua lapisan masyarakat kena bersungguh-sungguh patuh SOP dan had pergerakan dan elak perkumpulan ramai. Barulah jangkitan Covid ini boleh diputuskan.

“Jika hal ini gagal dipatuhi tidak mustahil kita akan berhadapan dengan kluster yang lebih besar lagi. Pada masa itu kemudahan kesihatan yang ada mungkin tidak lagi mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan kes,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here