KERAJAAN Kedah akan menyumbang RM200,000 kepada tabung #Aid4Palestine sebagai tanggungjawab agama, persaudaraan dan kemanusiaan sejagat bersama rakyat Palestin.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata seluruh umat Islam wajib bersama-sama menghulurkan bantuan bagi merawat derita dan kepayahan rakyat Palestin yang sedang diganyang oleh regim zionis Israel.
“Luka umat Islam dan kehancuran kemanusiaan sejak 1948 itu kini berdarah lagi, malah makin membesar sejak beberapa hari lalu bersabit kekejaman terbaru regim zionis ke atas rakyat Palestin di Masjidil Aqsa dan Semenanjung Gaza. Hal ini tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja.
“Walaupun sumbangan ini kecil dan jauh daripada mencukupi untuk membantu mereka, sekurang-kurangnya ia manjadi tanda kebersamaan Kedah dan seluruh rakyat Malaysia bersama perjuangan rakyat Palestin menghadapi penjajahan dan kekejaman regim Zionis Israel.
“Adalah menjadi kewajipan kita di negeri ini untuk menghidupkan persaudaraan dan menyuburkan kemanusiaan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Terdahulu semalam, kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan RM100,000 bagi meringankan derita rakyat Palestin.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan itu diberikan melalui Tabung Serambi Mekah sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis.
“Sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada saudara kita di sana yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini.
“Orang ramai yang ingin menyumbang kepada saudara kita di sana melalui Tabung Serambi Mekah bolehlah menyalurkan sumbangan melalui:
Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 03018010080024 (Bank Islam).
Hantarkan maklumat sumbangan Al-Aqsa melalui whatsapp: Mohd Roshdi bin Ismail (013-9015602)
Sumbangan ini akan dibuka selama tujuh hari sehingga 19 Mei 2021. – Malaysiapost

