Muhyiddin akui sedih, tak dapat beraya dengan anak, cucu

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, seperti ibu bapa lain, beliau turut merasa sedih pada pagi Syawal kerana tidak dapat beraya bersama anak-anak, menantu serta cucu kerana mereka dari lain daerah walaupun berada di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata di pagi Hari Raya beliau berkesempatan menjadi imam solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga dan pembantu rumah dalam suasana yang lain daripada biasa.

“Penularan wabak Covid-19 dan kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi telah membantutkan aktiviti dan rutin harian kita yang berkehendakkan kita menyambut Aidilfitri tidak seperti kelaziman.

“Tahun ini, sekali lagi kita terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri seperti tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Muhyiddin berkata, beliau merasa sedih dan sayu apabila takbir raya tahun ini hanya disahut jemaah yang terdiri ahli keluarga, bukan seperti di masjid atau surau seperti sebelum wabak itu melanda negara.

“Saya akui memang amat sukar untuk menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum.

“Walau apa pun, saya amat bersyukur kerana kita di Malaysia masih dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang tanpa ada pergolakan.

“Masih boleh bersama keluarga terdekat dan masih boleh berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon,” katanya lagi.

Perdana Menteri menambah, sebagaimana orang lain, beliau juga menggunakan teknologi seperti zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain.

Katanya, ia dapat juga melepaskan rindu biar pun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan turut terkenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri, dibedil kediaman mereka oleh jet-jet dan roket-roket rejim Israel.

“Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka  tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri. Maka sama-samalah kita mendoakan agar Allah pelihara dan lindungi  saudara kita di Palestin.

“Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat sebagai warga bumi bertuah ini tatkala negara lain dan dunia diuji dengan ujian yang amat getir.

“Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita untuk melihat rantaian Covid-19 ini diputuskan secepat mungkin dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here