Guru buat lawak rogol dipindahkan sementara – KPM

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) kini menempatkan guru yang didakwa membuat lawak berkenaan rogol terhadap seorang pelajar perempuan semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan tindakan itu diambil susulan kes membabitkan guru di sebuah sekolah menengah di Puncak Alam berkenaan masih dalam siasatan polis.

“Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan.

“Tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini,” menurut kenyataan itu.

KPM turut memaklumkan sudah meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen yang dikatakan dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan terhadap murid yang terbabit di Facebook.

“KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan beliau membuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya digodam,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu surat pemberitahuan ketidakhadiran ke sekolah dengan amaran pertama yang diterima pelajar berkenaan adalah dihantar melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, sistem ini akan menjana surat pemberitahuan itu yang kemudiannya akan dipos kepada ibu bapa.

“Secara umumnya surat ini adalah bagi memastikan ibu bapa dan pihak sekolah mengetahui dan cakna akan kehadiran pelajar semasa sesi persekolahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar serta seluruh warga sekolah dan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here