SEBAGAIMANA Ramadan mendidik untuk berjihad mengawal hawa nafsu dan menjadi hamba-Nya yang bertaqwa, begitulah juga semangat dan pengorbanan yang dituntut dalam menentang ancaman COVID-19 sehingga ke penghujungnya.
Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menerusi perutusan khas sempena Aidilfitri hari ini.
Katanya, meskipun Aidilfitri disambut dalam hiba dan kerinduan untuk berkumpul bersama ayah bonda di kampung, namun dalam situasi nyawa jadi taruhan, semua pihak perlu lebih rasional serta beralah untuk melupakan seketika kegembiraan yang dinikmati sebelum ini.
“Sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab, inilah pengorbanan terbesar perlu dizahirkan untuk melawan pandemik.
“Kita perlu terlebih dahulu menang mengawal hati dan perasaan terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, bagi mengelak wujudnya peningkatan kes positif Covid-19 dalam tempoh perayaan,” katanya.
Acryl Sani turut mengingatkan warga polis agar cekalkan hati menempuh apa jua dugaan, dalam dunia kepolisan yang penuh mencabar.
“Marilah kita terus berdiri meneruskan perjuangan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara kekal terpelihara.
“Ingatlah bahawa, setiap kudrat yang telah kita curahkan, air mata yang sering kali jatuh dan diseka, diiringi oleh nawaitu yang ikhlas Lillahi Ta’ala, telah pun dijanjikan ganjaran oleh-Nya.
“Dengan penuh tawaduk, marilah kita sama-sama menadah tangan, memohon diberi kekuatan dan perlindungan Allah SWT, agar dapat melaksanakan tanggungjawab hisbah hingga ke akhir tempoh perkhidmatan. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

