Gara-gara Covid-19 Nadia beraya tanpa ibu dan nenek

0
2

PELAKON Nadia Brian menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara sederhana kerana masih dalam tempoh menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Situasi tersebut susulan empat ahli keluarganya iaitu ibu, nenek, adik lelaki dan seorang anak saudaranya disahkan positif Covid-19 pada 9 Mei lalu.

Lebih menyentuh hati, kakak dan anak saudaranya kini turut menyertainya memerap kerana kuarantin kendiri di rumah.

“Siapa yang tidak sedih terima berita buruk menjelang esok menyambut raya. Sedih sebab hanya beraya bertiga sahaja kali ini.

“Namun, sebagai orang Islam, perlu juga sambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa, tidak meriah tetapi secara sederhana sahaja.

“Ibu dan nenek yang selalunya jadi orang kuat pada hari raya kini berada di pusat kuarantin, manakala saya dan kakak menjalani kuarantin kendiri di rumah. Memang tidak meriahlah raya kami seperti tahun sebelum ini,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.

Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis, dia juga tidak melakukan sebarang persiapan raya pada tahun ini.

“Saya memang tak buat langsung apa-apa persiapan untuk raya. Setakat ini kami masak menu mudah sahaja menggunakan bahan memasak yang ada di rumah sebab tak boleh keluar ke mana-mana,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga menitipkan pesanan kepada seluruh umat Islam yang menyambut raya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim perayaan.

“Berayalah dengan berpada-pada dan patuh SOP.

“Jangan kerana hendak beraya sakan, anda pula yang dijangkiti Covid-19. Virus ini bukan perkara main-main,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 9 Mei lalu media melaporkan empat ahli keluarga Nadia disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here