GARA-GARA tidak memantau anak kecil bermain mercun, seorang bapa berputih mata apabila keretanya musnah terbakar.
Menerusi perkongsian di Facebook, satu video memaparkan seorang bapa hanya melihat api yang marak membakar keretanya.
Memang luluh hati bapa itu kerana dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keretanya yang terbakar akibat mercun yang dimain oleh anak-anaknya.
Difahamkan ia berpunca daripada anaknya yang terbaling mercun ke dalam kereta bapanya sehingga menyebabkan nyalaan api di dalam kenderaan itu.
Ketika kejadian juga difahamkan tidak ada yang memantau anaknya bermain mercun.
Difahamkan, bapa malang itu pula keluar mencari kayu untuk membakar lemang, namun alangkah terkejutnya dia apabila menerima panggilan daripada isteri memaklumkan keretanya terbakar.
Sudahnya, bukan lemang yang dibakar, tetapi kereta yang terbakar. Malang memang tidak berbau, maka terpaksalah menerima hakikat sambutan perayaan tahun ini dengan kereta yang hangus terbakar.
Kejadian yang berlaku di Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan itu bagaimanapun berjaya dipadam oleh anggota bomba. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Malaysiapost
