Zahid yakin Umno kekal relevan hingga 100 tahun

0
2

SAMBUTAN ulang tahun Umno ke-75 harus dijadikan sebagai medan menyuntik semangat dalam kalangan ahli parti untuk bangkit dan kekal relevan meskipun hingga ke-100 tahun penubuhannya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno perlu bergerak dalam perubahan zaman untuk memastikan perjuangan parti kekal relevan sekali gus menawan hati rakyat di samping kekal mendokong dasar yang dipertahankan.

“Kita jangan hanya menoleh ke belakang tetapi memandang ke hadapan, saya tidak melihat perayaan 75 tahun Umno ini sebagai satu perayaan, tetapi ia adalah pengisian untuk 25 tahun yang akan datang apabila kita merayakan 100 tahun Umno walaupun pada ketika itu saya tidak berada sebagai presiden Umno.

“Tetapi pada ketika itu kita mahu melihat Umno berada di satu tahap pengubahan di dalam produk dalam new deal untuk menarik sokongan pengundi serta bekerjasama dengan pelbagai agama dan kaum.

“Kerana kita hidup dalam negara majmuk tapi keindukan tetap dipertahankan, kemusyulan agama tetap didaulahkan,” katanya seperti dilapor Umno Online.

Beliau berkata demikian pada program sempena ulang tahun Jubli Intan Umno ke-75 yang disiarkan di Facebook Umno Online, malam tadi

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sekiranya tiada pendekatan baharu dilakukan dan tindakan yang dilaksanakan hanya mengimbau kepada perkara lampau, maka tidak akan memberikan sebarang faedah kepada parti.

Katanya, sebaliknya parti perlu lebih bersikap rasional dalam merangka strategi yang nescaya akan memberikan impak lebih baik kepada perjuangan Umno.

“Yang kita tersilap langkah adalah kerana kita terlalu bernostalgia dan terlalu takut dengan semua orang, kadang-kadang takut dengan dirinya sendiri sebab kaki tidak berdiri di tapak yang sama.

“Kita perlu berdiri di tapak yang sama jangan pernah menjadi lalang yang ditiup angin.

“Dalam keadaan ini kita bukan sahaja harus berjiwa besar dan berfikiran terbuka tapi kita juga harus berlapang dada untuk melihat kedinamikan politik ini amat diperlukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap Umno akan terus kekal berjuang demi rakyat kerana ianya merupakan tujuan utama pada awal penubuhannya.

Beliau berkaata, walau apapun halangan dan cabaran Umno perlu tetap relevan tanpa ditelan peredaran zaman.

“Insya-Allah Umno akan memberikan manfaat kepada semua insan, kalau itu kita dapat pegang. Umno akan kekal berada di sana melebihi daripada merentasi 100 tahun ulang tahun Umno nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here