Sultan Selangor titah rakyat duduk rumah, jangan kunjung-mengunjung

0
2

SEMPENA Aidilfitri ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru agar rakyat dapat berkorban untuk pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung bagi mengelakkan wabak Covid-19 terus merebak sehingga sukar dikawal.

Menurut titah perutusan Aidilfitri baginda menerusi Selangor Royal Office, baginda menyeru rakyat agar menyambut hari raya kali ini dalam suasana sederhana dan berwaspada.

“Ini kerana Selangor masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan meningkatnya jumlah kes baharu jangkitan wabak Covid-19 yang sangat berbahaya,” titah baginda hari ini.

Baginda amat bimbang dengan angka kes jangkitan baharu dan kematian di Selangor yang semakin meningkat setiap hari.

Baginda mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan lazim pada hari raya seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung, demi mengelakkan wabak itu daripada terus merebak sehingga sukar dikawal.

Sultan Sharafuddin turut berpesan agar seluruh rakyat tidak mengambil mudah dengan bahaya wabak itu dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Paling penting, baginda mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, khususnya memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa.

Baginda tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak itu dan menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan wabak berkenaan sepenuhnya.

Pada kesempatan itu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor dan di Malaysia amnya.

“Selamat hari raya, maaf zahir batin. duduk di rumah, jangan berhimpun, berdoa hentikan wabak,” titah baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here