DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini seperti mana PKP 1.0 kerana tidak mahu menyusahkan sebahagian besar rakyat.
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata kerajaan membuka sektor ekonomi kerana seimbangkan antara keperluan kesihatan dan kehidupan rakyat.
Beliau berkata negara kehilangan RM2.4 bilion sehari jika sektor ekonomi ditutup, seperti mana ketika PKP 1.0.
Pada masa sama, katanya PKP pertama pada tahun lalu itu menyebabkan ramai peniaga kecil terjejas apabila hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat berniaga.
“Memang betul kita boleh landaikan lengkungan lebih lebih cepat dengan PKP 1.0 tapi tak bermakna melalui PKP 2.0 atau 3.0 kita tak boleh landaikan langsung.
“Kita buka sektor ekonomi dengan SOP ketat, manakala aktiviti sosial kita sekat, perhimpunan ramai tak dibenarkan.
“Dari segi kesihatan ini lebih penting (aktiviti sosial) kita dapat kurangkan jangkitan,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham di Putrajaya hari ini.
Beliau menjelaskan penutupan sektor ekonomi akan menyebabkan banyak kilang dan syarikat perniagaan ditutup, sekali gus ramai rakyat akan hilang pekerjaan.
“Ramai hilang kerja ketika PKP 1.0 apabila banyak syarikat tak mampu bayar gaji pekerja. Bila kita tutup sektor ekonomi bukan kilang sahaja susah, tapi pekerja kilang, industri dan syarikat lain turut terjejas.
“Ini sebabnya kita perkenalkan PKP 3.0 tapi tak seketat 1.0 sebab kita nak seimbangkan dengan keperlyan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

