Kes Covid-19 boleh cecah 7,000 akhir Mei – Dr Noor Hisham

0
1

KES harian Covid-19 boleh mencecah hampir 7,000 pada penghujung Mei atau awal Jun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, peningkatan kes mendadak boleh berlalu sekiranya orang ramai masih tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, sebelum ini Malaysia dijangka mencatat 5,000 kes pada hujung Mei dan sekitar 3,000 kes pada pertengahan bulan sama.

“Tetapi sekarang, walaupun dua minggu sebelum pertengahan bulan ini, kita telah mencatat lebih daripada 3,000 kes.

“Sekiranya ini berlanjutan, pada akhir Mei kita mungkin catat 6,000 hingga 7,000 kes setiap hari,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, virus Covid-19 semakin merebak dan menjangkiti manusia dengan varian-varian baharu.

Tambahnya, varian baharu itu menjadi penyebab jangkitan berlaku dalam kalangan golongan muda dan jumlahnya semakin meningkat, selain menjadi punca ramai pesakit dimasukkan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Antara varian baru yang dikesan adalah South African B.1.351, United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here