Jabatan, agensi penguatkuasaan KDN diarah tingkatkan operasi Covid-19

0
2

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya meningkatkan operasi pemantauan dan tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.

KDN memaklumkan, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan.

“Kementerian sudah mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) untuk tingkatkan jumlah operasi pemantauan.

“Selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi sekatan jalan raya (SJR), pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu mengambil kesempatan merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Menurut KDN, semua pihak diminta terus mematuhi SOP yang diputuskan kerajaan dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha serta langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19.

Jelas kenyataan itu, semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi KDN terbabit dalam penugasan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here