BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas sikap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa berterusan menunding jari terhadapnya dalam setiap permasalahan yang berlaku termasuk dalam isu Umno.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata dalam situasi negara diancam Covid-19 dan ekonomi rakyat yang semakin menekan serta tidak menentu ketika ini, Dr Mahathir masih terus dengan sikapnya ‘menyalahkan Najib’.
“Rakyat bimbang PKP 3.0, marah tak boleh balik raya, risau dengan keadaan Covid, bingung kenapa dinafi bayaran BPR, naik darah sebab aset-aset negara terus dijual dan bimbang sebab duit i-Sinar, i-lestari dan moratorium dah nak habis.
“Dia ini pula …. Najib, Najib dan Najib. ‘I cannot forgive Najib’, ‘Saya tak kembali ke Umno sebab Najib rosakkan’ diberitahu dia semalam pula,” tulis Najib dalam hantaran Facebooknya.
Najib secara sinis berkata, mungkin kenyataan Dr Mahathir itu dibuat kerana tidak berpuas hati selepas beliau ‘memberi’ formula berhubung dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, baru-baru ini.
“Mungkin sebab dia tak puas hati pula apabila saya beri formula pada anak dia tiba-tiba buat statement kata Najib punca keadaan Covid menjadi teruk.
“Covid jadi teruk, salah Najib. Mahathir tak mahu join balik Umno, salah Najib.
“Apa? Parti PETAI tak bagus ke? Kenapa nak masuk balik UMNO?Oh! Tun M dah baca formula yang saya beri pada anakmu haritu tak?,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan mengapa nilai Ringgit Malaysia (RM) tidak pernah naik walaupun sudah tiga tahun lalu beliau tidak menjadi Perdana Menteri.
“Harap jawab juga soalan saya kenapa Najib dah turun 3 tahun tapi Ringgit tak pernah naik. Bukan seperti slogan ‘Najib turun, Ringgit naik’ diberitahu Tun M.
“Malah Ringgit antara 30 sen hingga 60 sen lebih murah dengan US Dollar berbanding paras sebelum PRU14,” katanya.
Malam tadi, Dr Mahathir dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, berkata, beliau tidak boleh memaafkan Najib.
“I cannot forgive him…saya tidak boleh maafkan dia kerana dialah yang merosakkan parti saya,” katanya.
Bekas Presiden Umno itu ternyata marah kepada Najib yang didakwanya sebagai punca Umno rosak.
Menurutnya, Najib merosakkan parti yang ditubuhkan oleh bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak dan perbuatan itu cukup tidak baik serta beliau tidak boleh memaafkannya.
“Kalau dia akur kepada bapanya dia tidak jadi macam ini. Bapa dia kenal baik dengan saya bahkan saya anggap peluang saya jadi Perdana Menteri pun kerana Tun Razak.
“Tun Razak yang pilih saya jadi menteri lepas itu dia buat ‘recommend’ kepada Tun Hussein dengan itu saya jadi Perdana Menteri tetapi Najib bukan macam bapanya,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/06/saya-tidak-boleh-maafkan-dia-tun-m/

