JAWI keluarkan ketetapan baharu solat, aktiviti agama di masjid, surau

0
1
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung pelaksananaan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih, solat sunat Aidilfitri dan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Ketetapan itu dibuat berdasarkan pengumuman terkini kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ibadat solat di masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur yang dikenakan PKP, dibenarkan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter serta dilaksanakan di masjid kariah atau surau masing-masing sahaja.

“Aktiviti qiamullail dibenarkan sehingga 100 orang bermula jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Tadarus al-Quran dan majlis khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama, juga dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid sahaja sehingga jam 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kuliah dan tazkirah secara bersemuka turut dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dan penjarakan 1.5 meter.

Beliau berkata, bagi Aidilfitri jamuan selepas solat sunat hari raya, majlis jamuan dan aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan di Kuala Lumpur.

Mohd Ajib berkata, di Putrajaya dan Labuan yang dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) pula, ibadat solat berjemaah dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan 1.5 meter.

“Aktiviti qiamullail hanya 100 orang sahaja bermula 5 pagi dengan penjarakan 1.5 meter. Tadarus al-Quran dengan kapasiti separuh dewan solat, mankalaa khatam al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid.

“Takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam,” katanya.

Menurutnya, jamuan selepas solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan tetapi secara berbungkus, manakala majlis jamuan hari raya tidak dibenarkan selain aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here