Polis disyaki tertembak rakan direman 7 hari

0
2

SEORANG anggota polis lelaki akan direman selama tujuh hari mulai hari ini kerana disyaki tertembak rakan sekerjanya sehingga maut di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di Sibu, Sarawak, semalam.

Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian tersebut berkata suspek yang berusia 28 tahun itu akan direman untuk membantu siasatan.

“Manakala, pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat sama ada hari ini atau esok sebelum jenazah dihantar pulang ke Pahang,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.

Mangsa, Norhalim Tumiran, 24, dilaporkan maut setelah disyaki terkena tembakan di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar jam 7.20 malam itu.

Ketika kejadian, suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah si mati yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/07/anggota-polis-dijumpai-mati-dengan-kesan-tembakan-di-kepala/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here