KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memohon kerajaan mempertimbangan semula prosedur operasi standard (SOP) Sukan dan Rekreasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
KBS menerusi kenyataan, berkata pihaknya sentiasa komited dan konsisten membawa perspektif bahawa sukan bukan sahaja berkait soal aktiviti malah ia turut melibatkan ekosistem yang lebih luas lagi.
“YB Menteri Belia dan Sukan memaklumkan bahawa beliau akan mengangkat semula beberapa cadangan KBS berhubung pendekatan-pendekatan yang lebih wajar terhadap sektor sukan dan rekreasi dalam PKP dapat dipertimbangkan semula dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada petang ini.
“KBS sentiasa bersama peminat dan penggiat sukan dalam memaknakan ‘Kita Jaga Kita’ khususnya dalam soal kelangsungan hidup dan keselamatan diri daripada penularan jangkitan Covid-19. Dalam masa yang sama, soal kecergasan sama sekali tidak diketepikan,” kata kenyataan itu, hari ini.
PKP dilaksanakan di enam daerah di Selangor mulai semalam hingga 17 Mei, manakala seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 20 Mei. – Malaysiapost

