PELAKON dan pengacara, Sarimah Ibrahim meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap kes melibatkan seorang bapa dan tiga anak lelaki yang merogol darah daging sendiri.
Sarimah berkata, kejadian itu akan menghantui mangsa serta meninggalkan trauma sepanjang hidupnya.
Katanya, binatang yang tidak mempunyai akal juga tahu menyayangi anak tetapi mengapa manusia tergamak bertindak sedemikian.
“Setahun merogol dan mencederakan anak dan adik sendiri. Jangan nak salahkan mangsa unless you bukan waras.
“Kesian budak perempuan itu. Musnah kehidupan. Trauma buat selama-lamanya. Binatang pun tak rogol anak sendiri. Apa dah jadi dah dunia kita?
“Bagi mereka yang mengatakan haiwan melakukannya juga tapi niat ‘pemerkosaan’ untuk mencederakan dan keseronokan adalah sifat manusia,” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, haiwan juga melakukan perbuatan tersebut yang bertujuan memperbanyakkan keturunan namun ia sama sekali berbeza dan bukan termasuk kategori rogol.
Katanya, ketua keluarga dan lelaki sepatutnya melindungi wanita bukan menganiaya.
“Ia kerana haiwan tidak mengetahui batas dan empati serta kurang pengetahuan. Sebaliknya manusia yang mempunyai sifat itu pula melakukannya.
“Penyelesaiannya: Tolong lindungi wanita. Berhenti mendera wanita. Berhenti menonton lucah. Gunakan kekuatan anda untuk membina keluarga yang kuat. Mempunyai harga diri,” katanya.
Pada 23 April lalu, media melaporkan berita mengenai seorang remaja perempuan mendakwa dirogol dan diliwat oleh bapa serta tiga abang kandungnya sejak lebih setahun lalu.
Dilaporkan kejadian berlaku sejak Februari tahun lalu dan kali terakhir mangsa dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh bapa dan tiga abang kandungnya adalah pada akhir Februari lalu.
Ketika kejadian suspek di bawah pengaruh dadah dan mangsa mendakwa diberikan minuman yang dicampur dengan bahan disyaki dadah.
Mangsa juga mendakwa kedua-dua tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia di penjuru katil dan mulut ditutup dengan pita pelekat. – Malaysiapost

