Jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis tidak perlu dipisahkan

0
1

Dr Kamarul Zaman Yusoff

SEJAK kebelakangan ini bersipongang suara yang mengutuk kewujudan campur-tangan politik dalam pasukan polis yang disusuli dengan seruan supaya dilakukan pemisahan kuasa antara politik dan pasukan polis khususnya melalui pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bukan dari kalangan Menteri.

Ini berpunca daripada kenyataan Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara (KPN) yang dilantik secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021, pada 30 April 2021 bahawa pelantikan pegawai polis sepatutnya ditentukan oleh beliau yang “bergelumang setiap hari dengan pasukan polis” berbanding oleh Menteri Dalam Negeri yang dikatakan tidak mempunyai masa dan kemampuan untuk berbuat demikian kerana sibuk dengan pelbagai jabatan lain.

Begitu juga dengan saranan beliau supaya Pengerusi SPP dilantik bukan dari kalangan Menteri kerana Menteri dikatakan akan membawa unsur-unsur politik berbanding seorang bekas Ketua Hakim dan seorang bekas Hakim.

Masa sama, dakwaan ini sebenarnya tidaklah serius kerana Tan Sri Abdul Hamid tidak menyatakan bahawa unsur-unsur politik sudah berlaku dalam pasukan polis, tetapi beliau hanya menyatakan kebimbangan beliau bahawa ini boleh berlaku, di mana, di dalam kata-kata beliau, “yang saya takut ni besok akan berlakulah yang mana PDRM ni akan digunakan untuk nak serve dia punya political interest (kepentingan politik) dia”.

Ekoran dakwaan ini, maka bergemalah pelbagai suara yang mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kewujudan campur-tangan politik dalam pasukan polis ini, di samping bagi memisahkan politik dari pasukan polis, termasuk dari kalangan pemimpin parti-parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH).

Begitupun, dakwaan begini sebenarnya bersalahan dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana jelas dinyatakan di dalam Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 bahawa pasukan polis hendaklah di bawah perintah Ketua Polis Negara yang adalah seorang pegawai polis dan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri bagi kawalan dan arahan pasukan. Tiada kekaburan di sini bahawa kawalan dan arahan pasukan polis adalah berada di dalam tangan Menteri Dalam Negeri yang menyalurkannya melalui Ketua Polis Negara.

Begitu juga dengan peruntukan Perkara 140 (1) dan 140 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis” adalah berada di bawah tanggungjawab SPP yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

Hanya pihak yang tidak faham dengan konsep pengasingan kuasa sahaja yang mahu memisahkan pasukan polis, mahupun penjawat awam lain, daripada politik. Yang dimaksudkan dengan konsep pengasingan kuasa itu adalah pemisahan antara tiga cabang pemerintahan sahaja, iaitu badan-badan perundangan, kehakiman dan eksekutif, tetapi jika badan eksekutif itu sendiri hendak dipisahkan lagi maka akan huru-haralah pentadbiran sesebuah kerajaan.

Sebab itulah bukan setakat SPP sahaja, malah Majlis Angkatan Tentera (MAT) juga, melalui Perkara 137 (1) dan 137 (3) Perlembagaan Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, adalah bertanggungjawab bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku kepada pemerintahan sesebuah kerajaan jika SPP dan MAT ini dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah, sudah pastilah kesukaran malah kekalutan besar akan berlaku dalam perlaksanaan dasar-dasar kerajaan itu, malah tidak mustahil untuk kerajaan yang dipilih secara demokratik itu boleh ditumbangkan pula.

Sebab itulah di negara jiran Singapura sekalipun Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, boleh menyatakan dengan tegas bahawa perkhidmatan awam adalah tidak bebas daripada kerajaan yang dipilih (not independent of the elected government) malah ia mesti berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih pada sesuatu waktu (must serve the elected government of the day).

Sebab itulah Manifesto PH dalam PRU 15 sekalipun, melalui Janji 20-nya bertajuk “Menjadikan ATM dan pasukan PDRM sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani”, langsung tidak memperkatakan mengenai hasrat untuk menjadikan Pengerusi SPP dan Pengerusi MAT ini dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah.

Dan sebab itulah juga tiada pemimpin PH yang mengutarakan cadangan supaya Pengerusi SPP dan Pengerusi MAT ini dipengerusikan bukan oleh Menteri PH sewaktu ia memerintah.

Ini kerana PH tahu bahaya yang bakal menimpa kerajaannya sekiranya angkatan tentera dan pasukan polis tidak mampu dikuasai oleh pihaknya seperti amalan lazim.

Lalu bila orang politik (Menteri) hanya melaksanakan tanggungjawab beliau menjadi Pengerusi SPP yang sudah sekian lama digariskan di dalam Akta dan Perlembagaan Persekutuan, mengapa pula kini ia dinyatakan sebagai campur-tangan politik?

Dan mengapa pula kini perlu dihebohkan bahawa jawatan ini (tetapi bukan jawatan Pengerusi MAT) perlu pula dipengerusikan bukan oleh orang politik (Menteri) sedangkan ia tidak pernah dipertikaikan pun sebelum ini?

Penulis ialah pensyarah kanan UUM

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here