SULTAN Muhammad V menzahirkan kebimbangan atas peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Kelantan sejak pertengahan April lalu, dari dua angka hingga mencecah lebih 400 kes sehari hampir setiap hari.
Baginda berasa amat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan yang masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“KDYMM Sultan Muhammad V, menyeru semua rakyat Kelantan supaya mengambil serius pematuhan SOP PKP yang ditetapkan.
“Baginda turut menekankan bahawa peranan semua pihak dalam usaha melandaikan lengkung kes penularan Covid-19 adalah sangat penting dan mengingatkan seluruh rakyat Kelantan supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan
tangan untuk mengelak jangkitan Covid-19.
“Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kelantan hampir memenuhi kapasiti dan turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada yang terpaksa ditempatkan di wad biasa,” menurut Unit Media Pejabat Sultan Kelantan menerusi kenyataan hari ini.
Baginda bertitah, jumlah pesakit yang meningkat telah memaksa kerajaan negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana di Kota Bharu dan ini menunjukkan situasi yang kritikal di negeri itu.
“Berikutan penularan varian Afrika Selatan B1351 yang turut dikesan di Kelantan berpunca daripada aktiviti rentas negeri, KDYMM Sultan Muhammad V menitahkan semua pihak terutama sekali rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.
“Baginda menyarankan peniaga supaya mengutamakan pengurusan perniagaan melalui atas talian.
“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling, dan bersimpati dengan kakitangan Kementerían Kesihatan yang banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata, Sultan Muhammad V merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.
“Akhir sekali, sempena minggu terakhir Ramadan yang mulia ini, Baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin dan tindakan kolektif yang diambil oleh rakyat akan dapat segera melandaikan lengkuk jangkitan yang membimbangkan ini,” katanya. – Malaysiapost

