SEORANG pesara Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah kerugian hampir RM250,000 dalam kebakaran rumahnya di Kampung Santing Pengalat Besar, Papar baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 9.30 malam pada 25 April lalu, hampir keseluruhan struktur rumahnya dijilat api menyebabkan Materi Olod, 69, tinggal sehelai sepinggang.
Menceritakan detik cemas itu, Materi berkata kebakaran berpunca daripada litar pintas dan lebih memburukkan keadaan, semasa kejadian kawasan kampung mengalami gangguan bekalan air ekoran kerja penyelenggaraan oleh Jabatan Air Negeri Sabah.
“Kejadian malang ini bermula di bahagian belakang rumah. Oleh kerana struktur rumah kayu, api merebak dengan cepat ke bahagian lain sampai ke ruang tamu.
“Ketika itu, ramai jiran datang membantu memindahkan barangan penting dan memadamkan api sebelum anggota bomba tiba,” katanya.
Musibah yang menimpa Materi dan keluarga mendapat perhatian Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah.
Nadzerah yang diiring Timbalannya, Harun Maddasa serta rombongan jabatan berkenaan menyampaikan sumbangan serta kata-kata semangat kepada Materi.
Materi menjawat jawatan akhir sebagai Ketua Penolong Pengarah Media dan Komunikasi Korporat. – Malaysiapost

