KERAJAAN diminta memberi kelonggaran dan membenarkan aktiviti makan di restoran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di beberapa kawasan dengan terbaharu di enam daerah di Selangor bermula hari ini.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Lt Kol (K) Che Hassan Che Johan, berkata pihaknya memohon perkara itu dipertimbangkan kerana ramai pengusaha restoran akan kembali terjejas.
“Sejak PKP tahun lalu, terdapat banyak restoran yang terkesan dengan keputusan tidak membenarkan restoran beroperasi sepanjang tempoh itu (Dine-In tidak dibenarkan).
“Sebaik dibenarkan beroperasi, dengan jumlah yang dihadkan, pengusaha restoran menarik nafas lega kerana dapat menjalankan perniagaan seperti biasa biarpun pendapatan merosot dengan teruk.
“Sehubungan itu, PPMM merayu kepada kerajaan untuk memberi kebenaran restoran beroperasi dengan had dua orang setiap meja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan cara itu, peniaga yang terjejas dapat menjana pendapatan melalui operasi perniagaan berbanding secara pandu lalu.
“Apa yang saya harian sekiranya dibandingkan dengan pasar Ramadan dan pasar malam, mereka dibenarkan dengan SOP diperketatkan.
“Seperti mana biasa, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) disetiap restroran akan di tingkatkan dalam usaha membendung jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya.
Che Hassan juga memohon perhatian segera kerajaan supaya pekerja restoran diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dengan kadar segera.
Katanya, vaksinasi itu juga boleh menjadi syarat untuk tiap-tiap restroran dibenarkan operasi seperti biasa.
Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang dikenakan semula PKP mulai hari ini hingga 17 Mei, sementara Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei.
Kerajaan Persekutuan membenarkan kedai makan beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP termasuk makan di restoran dengan SOP ketat.
Namun kerajaan Selangor semalam memutuskan tidak membenarkan kedai makan beroperasi secara ‘dine in’ dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost

