Padah bersiar-siar, warga emas kena kompaun RM5,000

0
1

RASA panas di rumah dan ingin bersiar-siar menjadi alasan seorang warga emas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Alasan tidak munasabah warga emas yang memakai gelang merah jambu untuk melanggar kuarantin itu membawa padah apabila dia dikenakan kompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata warga emas itu dikenakan kompaun dalam operasi antara jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang semalam.

“Alasan yang diberikan oleh Orang Kena Kompaun kerana keluar rumah setelah dikuarantin adalah kerana panas berada di rumah dan ingin bersiar-siar.

“Alasan sebegini sangat tidak munasabah dan boleh merebakkan jangkitan Covid-19 kepada umum sekiranya individu berkenaan didapati positif Covid-19,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Kampung Sungai Klau itu dikenakan kompaun di bawah Perkara 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2020) kerana gagal kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu.

Dalam pada itu beliau berkata, dua lagi individu berusia 52 dan 69 tahun turut dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 kerana berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD.

Ujarnya kompaun terhadap individu yang berasal daripada Kampung Klau dan Taman Klau itu dikeluarkan di bawah Perkara 25(a) PPPDPPB 2021.

Kerajaan melaksanakan PKPD di sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau, yang akan tamat 12 Mei ini.

Penempatan di Sungai Chalit yang dikenakan PKPD ialah Kampung Baru Sungai Chalit dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit.

PKPD di Sungai Klau pula membabitkan Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here