Nilam Oshman
AKTIVITI makan di restoran dan bufet Ramadan tidak dibenarkan mulai esok di Selangor susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata larangan ‘dine-in’ di semua restoran, hotel termasuk aktiviti bufet Ramadan dibuat selepas mendapati ia menjadi tempat perkumpulan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kedai makan, stesyen minyak dan kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Terdapat sedikit perubahan SOP, awalnya kita mengehadkan tempoh operasi hingga jam 10 malam namun ia dipanjangkan hingga jam 12 tengah malam memandangkan pada bulan Ramadan ada keperluan untuk bersahur.
“Tetapi masih tidak dibenarkan dine-in, hanya untuk bungkus dan ‘take away’ sebagaimana yang telah digariskan SOP,” katanya dalam sidang media Majlis Keselamatan Negara, hari ini. – Malaysiapost

