Najib kecewa kerajaan terus laksana PKP separuh masak

0
1
najib razak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang didakwa lebih longgar berbanding dengan PKP 2.0.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata perkara itu dipertikaikan kerana ternyata PKP 2.0 gagal untuk mengekang penularan wabak walaupun ia lebih ketat berbanding PKP 3.0.

“Lagi kecewa ialah kerajaan teruskan langkah PKP separuh masak yang telah terbukti gagal sebelum ini.

“Jika PKP 2.0 terlalu longgar dan terbukti gagal, kenapa nak buat PKP 3.0 lagi longgar dari PKP 2.0? Lagi longgar maksud akan lagi berjaya ke?

“Adakah mudarat berpanjangan lagi baik berbanding pengorbanan seketika?,” soalnya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau sedih kerana situasi Covid-19 yang kritikal ketika ini berlaku selepas hampir empat bulan darurat dan PKP 2.0 dilaksanakan.

Katanya, kapasiti hospital sudah hampir maksimum atau melepasi kapasiti dan ia perkara itu sudah diberi amaran oleh kerajaan sendiri.

“Bilangan kematian baru Covid semalam sahaja sebanyak 23 mangsa manakala 17 kluster baru dikesan termasuk 4 kuster pendidikan.

“Jumlah kluster Covid masih aktif pula cecah 400 kluster buat kali pertama dan menjadi 405 kluster,” katanya.

Najib turut mempersoalkan bagaimana Kementerian Kesihatan M alaysia (KKM) dan pihak penguatkuasa mampu mengawal sebanyak 405 kluster di seluruh negara untuk tempoh berbulan-bulan.

“Apakah akan terjadi jika trend kenaikan sejak dua minggu lalu berlanjutan dan bilangan pesakit kritikal serta kluster aktif naik 50% atau 100% lagi?

“Jumlah kes Covid sudah cecah 420,632 (berbanding sekitar 100,000 kes pada awal Januari semasa darurat diisytihar) dan kini melepasi angka Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, jumlah mangsa terkorban akibat Covid-19 sejak darurat bermula sudah mencecah 1,000 mangsa.

“Adakah sesiapa dalam kerajaan yang sedar, bimbang atau berasa salah dengan keadaan ini?,” soalnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP berkuat kuasa esok hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dilaksanakan PKP.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here