Ujian saringan Covid-19 percuma di Selangor bermula Sabtu ini

0
1

SELANGOR melaksanakan sistem pengawasan Covid-19 di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan ujian saringan akan dilaksanakan secara percuma di seluruh negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil memandangkan terdapat corak peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

“Memandangkan terdapat corak peningkatan kes Covid-19 di as Selangor, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem pengawasan melalui konsep ‘active case detection’ atau mengenalpasti kes secara aktif di semua DUN dengan ujian saringan Covid-19 akan dilaksanakan secara percuma.

“Jadual lengkap akan menyusul dengan lokasi dan masa yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, program itu akan berlangsung bermula 8 Mei ini hingga 10 Jun depan dengan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Katanya, program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 19 peringkat negeri itu akan dilaksanakan di dua DUN setiap hari dan dimulakan dengan DUN Kajang dan DUN Semenyih, Sabtu ini.

“Program ini akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat negeri Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak dengan pesakit Covid-19, bergejala dan juga rakyat yang bimbang tentang status mereka.

“Diharap dengan program ini, rakyat Selangor akan mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan di kawasan seluruh Selangor mengikut tarikh yang ditetapkan dan memainkan peranan untuk mengurangkan wabak Covid-19 di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, faktor yang amat membimbangkan adalah apabila rakyat Selangor yang dijangkiti Covid-19, tetapi tidak mengetahuinya atau diistilahkan sebagai ‘silent carriers’.

“Mereka ini adalah golongan yang tidak bergejala dan sihat. Golongan ini amat merisaukan kerana mereka boleh menularkan dan menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi.

“Saya menyeru semua rakyat Selangor untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersama-sama melibatkan diri melalui ujian saringan dan suntikan vaksin bagi menewaskan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here