Kerajaan Negeri Selangor mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah perlu bagi mengurangkan jumlah kes Covid-19 di negeri berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata terdapat dua sebab utama pelaksanaan itu perlu dilakukan termasuk beberapa hospital di Selangor telah mencapai kapasiti menampung pesakit Covid-19 sehingga 70 peratus.
“Faktor kedua pula, kita dapati ada individu positif Covid-19 tidak kuarantin di rumah dan telah pergi ke tempat awam.
“Bagaimanapun, kita berharap sekiranya PKP dilaksanakan tidak melibatkan secara total seperti PKP 1.0 sehingga menutup sektor ekonomi memandangkan Selangor merupakan pusat ekonomi utama Malaysia,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) antara kerajaan Selangor dengan Open University Malaysia (OUM) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di bawah Program Saringan Covid-19 di Komuniti.
Katanya, program itu akan dijalankan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di DUN Hulu Langat, Jumaat ini.
“Program itu akan dibuat secara berperingkat oleh pasukan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) dan Selangor Task Force Operation (STFO) dengan maklumat perjalanan operasi di lokasi-lokasi boleh diperolehi menerusi Facebook rasmi saya atau STFC.
“Justeru, orang ramai ramai yang mempunyai gejala virus itu digesa menjalani ujian saringan apabila pasukan tersebut tiba di kawasan mereka,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter/@AmirudinShari

