KLUSTER Jalan Impian Emas 17, Johor Bahru yang merupakan kluster komuniti setakat ini merekodkan 52 individu positif dan tiga kematian akibat Covid-19 sejak 21 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata siasatan menunjukkan kes indeks dalam kluster itu kerap hadir aktiviti berbuka puasa dan menunaikan solat terawih di sebuah surau di taman perumahan berkenaan.
“Kes pertama dalam kluster ini dikesan melalui saringan bergejala pada 21 April lalu dan susulan itu saringan kontak dijalankan membabitkan ahli keluarga, rakan sekerja dan jemaah surau berkenaan.
“Sehingga 2 Mei 2021, seramai 252 individu sudah disaring dengan 52 daripada mereka didapati positif dengan tiga kematian dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penutupan surau berkenaan telah dijalankan bermula 24 April sehingga Ahad lalu.
Vidyananthan berkata, kluster itu masih di dalam pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan dijangka tamat pada 29 Mei sekiranya tiada kes baharu dilaporkan selepas ini.
“Sehubungan itu, masyarakat diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan ketika menjalankan aktiviti ibadat di bulan Ramadan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Imam Surau Al Jawhar, Taman Impian Emas, Johor Bahru, Muhammad Nazirul Jamaludin, 32, meninggal dunia akibat wabak Covid-19 pada 28 April lalu.
Perkara itu disahkan adiknya Muhammad Zulhilmi, 29, yang turut didapati positif Covid-19 bersama bapanya, Jamaludin Arif, 60.
Susulan itu, JAINJ dilaporkan menunggu laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kematian beberapa individu pengurusan sebuah masjid di taman perumahan berkenaan selepas tular mengenai kematian imam, bilal dan pengerusi masjid di taman terbabit akibat Covid-19. – Malaysiapost

