Laksanakan juga pendaftaran pengundi secara automatik – Ahmad Maslan

0
1

PELAKSANAAN Undi 18 yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat mesti dibuat bersekali dengan proses pendaftaran pengundi secara automatik. 

Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan susulan masih ramai rakyat Malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi. 

“Bukan hanya #Undi18 yang perlu Julai ini YB DS @takiyuddin61 namun perlu juga bersekali laksana daftar mengundi secara automatik. 

“Angka @sprgovmy sebelum ini sebut ada 5.6 juta rakyat yang belum daftar. Maka daftarkan semuanya mereka itu segera demi suburkan demokrasi di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022. 

Beliau berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR. 

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini. 

Katanya, SPR masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan ia dijangka dilaksanakan Julai ini sekali gus membolehkan rakyat berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan mengenai perkembangan pendaftaran pemilih automatik sama ada ia turut dilakukan bersekali dengan Undi 18, Julai ini. 

Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat. 

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here