VIDEO pelawak popular memukul individu lelaki dipercayai penghantar makanan tular di media sosial, sejak malam tadi.
Klip berdurasi 24 saat itu turut terdapat suara yang menyebut nama ‘Lan Pet Pet’ yang dikatakan berang sehingga berlaku insiden tersebut.
Dalam masa sama, pelawak itu ditenangkan oleh tiga lagi individu daripada terus memukul lelaki penghantar makanan itu.
Malah, lebih mengejutkan apabila pelawak itu menjerkah lelaki penghantar makanan tersebut dengan kata-kata berbaur amaran, ‘hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?’
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila dan di mana lokasi kejadian itu.
Sebelum ini, Lan Pet Pet, 51, yang popular dengan kumpulan Senario pernah memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.
Dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan. – Malaysiapost

