Kerajaan tak mahu umum PKP 3.0 kerana takut dicop gagal – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata situasi Covid-19 di negara ini didakwa lebih buruk berbanding ketika pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu.

Beliau berkata, lebih membimbangkan jumlah pesakit kritikal dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) serta yang memerlukan bantuan penafasan semakin meningkat.

“Bilangan pesakit dalam ICU telah naik dari 228 dua minggu lepas ke 300 minggu lepas ke 352 semalam. Bilangan pesakit paling serius pula naik dari 93 dua minggu dulu ke 133 minggu lepas ke 186 orang semalam.

“Masing-masing adalah 88% dan 113% lebih ramai berbanding masa darurat diumum. Cuba bayangkan apakah keadaan negara jika angka-angka ini mengikut trend dan berganda sekali lagi?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia dibuktikan apabila kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hospital swasta mula mengumumkan kapasiti untuk menampung pesakit adalah kritikal.

Najib berkata, malah KKM juga memberi amaran bahawa jumlah pesakit muda serta peratusan pesakit kritikal meningkat tinggi disyaki kerana jangkitan varian baru Covid yang menular dalam Malaysia.

“Dalam keadaan ini, secara logiknya kerajaan Perikatan Nasional patut umum PKP 3.0 serta merta seperti dicadang dan diberi amaran KKM serta diminta oleh beberapa negeri-negeri kepada MKN.

“Namun saya terbaca berita bahawa PM8 belum sedia bersetuju walaupun negeri-negeri dan KKM mendesak,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, apa yang paling ditakuti bukan sahaja jumlah kes positif yang semakin meningkat tapi sistem kesihatan yang lumpuh.

“Kita mahu elak keadaan di mana pesakit yang sudah parah dan perlu rawatan segera ditolak berkali-kali oleh hospital kerajaan dan swasta sebab kapasiti rawatan sudah dilepasi.

“Ini berlaku di negara India di mana ahli keluarga pesakit perlu membawa pesakit sebab kekurangan ambulans dan memandu berjam-jam lamanya untuk mencari hospital yang masih ada kapasiti.

“Akhinya tidak berjaya cari hospital yang mampu mengambil dan pesakit meninggal dalam kereta ahli keluarga,” katanya.

Najib berkata, beliau sangat mengambil perhatian dengan jumlah pesakit aktif Covid – terutamanya bilangan pesakit ICU dan pesakit pada tahap paling serius iaitu memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah positif setiap hari boleh naik dan turun sebab jumlah saringan dibuat setiap hari juga naik dan turun. Ia seperti angka 2,500 semalam yang merupakan kejatuhan besar berbanding hari-hari sebelumnya.

“Ini disebabkan jumlah saringan turun dengan banyak beberapa hari lalu semasa cuti awam dan makmal-makmal swasta tak buka.

“Bagaimanapun, jumlah pesakit yang serius dan perlukan jagaan ICU serta bilangan pesakit yang terima bantuan pernafasan tidak menipu sebab tak terkesan dengan cuti awam,” katanya.

Najib berkata, beliau percaya keengganan kerajaan untuk membuat keputusan berhubung PKP adalah kerana PKP 2.0 baru sahaja tamatkan dua bulan lalu.

Katanya, jika kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dalam tempoh ini maka kerajaan PN akan dikecam teruk serta digelar sudah gagal.

“Sebagai parti politik yang sudah berada dalam keadaan yang rapuh, sudah tentu mereka tidak dapat dicopkan sebagai parti gagal sebab tak serius melaksanakan PKP 2.0 separuh masak yang menyusahkan rakyat dengan sia-sia.

“Lebih-lebih lagi, PM8 baru sahaja beri jaminan pada bulan Mac bahawa kerajaan tidak akan membuat lagi PKP menyeluruh baik dari segi seluruh negara atau bagi seluruh negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mempersoalkan apakah pilihan kerajaan PN ketika ini jika kekal dengan keputusan tidak mahu melaksanakan PKP 3.0.

“Hanya percubaan untuk memindah pesakit yang perlukan jagaan ICU ke negeri-negeri lain yang masih ada pesakit atau arahkan hospital-hospital swasta dan kerajaan untuk tambah kapasiti ICU, jika masih mampu.

“Namun, bukan senang untuk tambah katil ICU sebab perlukan peralatan khusus serta jururawat dan doktor-doktor terlatih untuk jaga pesakit ICU dengan rapi sepanjang 24 jam sehari,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here