BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau hari ini menerima notis tuntutan saman daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada peguamnya serta menyatakan kesediaan untuk berjumpa Khalid di mahkamah.
“Saya telah menerima surat permintaan dari Ex-IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk membalasnya. Saya akan berjumpa dengannya di mahkamah,” katanya menerusi Facebook.
Pada 2 Mei lalu, Khalid memberikan Dr Mahathir tempoh selama tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah bulan lalu.
Khalid turut menuntut bekas perdana menteri itu menarik balik kenyataan disiarkan sebuah portal berita yang disifatkan tidak benar dan menjejaskan reputasi serta maruahnya selaku bekas KPN.
Kenyataan Dr Mahathir yang disiarkan portal berita itu pada 16 April lalu bertajuk ‘Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib’.
Antara kandungannya yang didakwa memfitnah Khalid adalah ‘Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Ketua Polis Negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad’. – Malaysiapost

