Kelesuan pandemik faktor kes Covid-19 meningkat – Dr Noor Hisham

0
1

SITUASI semasa Covid-19 kini semakin membimbangkan dengan kelesuan pandemik di negara ini dan seluruh dunia menjadi salah satu penyebab peningkatan kes akhir-akhir ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins, sehingga hari ini, kes positif Covid-19 yang direkodkan di seluruh dunia telah melonjak kepada 152 juta kes dengan angka kematian melebihi 3.2 juta.

Menurutnya, Amerika Syarikat (AS) kekal melaporkan kes tertinggi di dunia iaitu 32.4 juta, diikuti oleh India (19.9 juta kes) dan Brazil (14.8 juta kes).

“Kebanyakan negara di dunia mencatatkan kenaikan mendadak kes jangkitan dan kematian Covid-19 walaupun sebahagian besar telah pun memulakan program imunisasi di negara masing-masing.

“Masyarakat mulai lesu, lalu alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah program imunisasi Covid-19 mula diperkenalkan bermula hujung tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelonggaran beberapa perintah larangan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, sempadan negara dan penganjuran perhimpunan beramai-ramai juga menyebabkan kes meningkat secara mendadak di kebanyakan negara.

Katanya, situasi itu menjadi lebih membimbangkan dengan kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2.

“Situasi yang sama dapat dilihat di Malaysia sejak awal April lalu dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 61,984 kes baharu dan 235 kes kematian dalam masa empat minggu.

“Seperti diketahui umum, peningkatan kes baharu dan kematian mendadak ini telah meningkatkan bebanan sektor kesihatan negara.

“Susulan itu, kapasiti hospital telah ditingkatkan dan lebih ramai petugas kesihatan dimobilisasikan ke kawasan wabak bagi menampung peningkatan jumlah pesakit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, menurut statistik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 terkini melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Berdasarkan situasi kritikal ini, katanya, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjadi lebih parah.

“Survelan genomik giat dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap lebih banyak sampel kes Covid-19, menerusi aktiviti ini sebanyak tiga Variant of Concern (VOC) iaitu varian B.1.351, B.1.1.7, dan B.1.1.28 dan satu Variant of Interest (VOI) iaitu B.1.617.1 telah dikenalpasti,” katanya.

Menurutnya, kawalan sempadan negara telah diperketatkan dengan menyekat kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan memanjangkan tempoh kuarantin menjadi 14 hari, selain kawalan sempadan daerah dan negeri diperketatkan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara.

“KKM menyeru semua penduduk supaya bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam membendung penularan Covid-19 dengan memainkan peranan masing-masing.

“Kita perlu bersatu padu tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here