KERAJAAN Kelantan akan akur apa sahaja keputusan kerajaan Persekutuan dan tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat atau ‘total lockdown’ dilaksanakan di seluruh negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata ia berikutan kes jangkitan Covid-19 negeri itu tidak menunjukkan penurunan sejak dua minggu lalu.
Beliau bagaimanapun berkata setakat ini belum ada perbincangan mengenainya, namun kerajaan negeri sedia menerima apa sahaja kemungkinan dan akur jika kerajaan Persekutuan memutuskan demikian, lapor Utusan Malaysia.
“Apa saja arahan daripada kerajaan Persekutuan, kita akan ikut tetapi buat masa ini, belum ada cadangan lagi (untuk total lockdown).
“Kita lihat keadaan sekarang memang amat membimbangkan apabila semua daerah di Kelantan sudah bertukar daripada zon hijau kepada zon merah,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Beliau sebelum itu melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor yang menempatkan pesakit dalam kalangan pelajar sekolah.
Ahmad berkata, tidak banyak kemajuan dicatatkan apabila Kelantan mencatatkan kes positif Covid-19 tiga angka dan berada pada kedudukan tiga negeri tertinggi setiap hari.
“Tiada pendekatan lain melainkan semua rakyat perlu berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sehingga kini, saya lihat pematuhan SOP masih lemah terutama di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar. Saya harap kerjasama semua pihak untuk terus mematuhi SOP,” katanya. – Malaysiapost

