‘Kelate’ ubat kerinduan perantau Malaysia di Singapura

0
2

MENINGGALKAN dunia hiburan dan beralih kepada bidang perniagaan berasaskan makanan tradisi Kelantan di Singapura, merupakan keputusan nekad dibuat bekas pelakon, Sasqia Dahuri.

Mendirikan rumatangga dengan warga Singapura, Muhammad Asyraff Khan, wanita itu mengambil keputusan untuk menetap di negara berkenaan susulan sekatan pergerakan dek kerana Covid-19, sejak setahun lalu.

Dikurniakan bakat memasak, wanita itu mula mendapat perhatian. Difahamkan, pada awalnya dia memasak untuk sahabat suaminya sebelum memulakan langkah dengan berniaga dari rumah.

Memilih lokasi Pusat Penjaja Lorong 4 Toa Payoh yang terletak di Singapura sebagai lokasi ternyata mendatangkan ‘tuah’ buat anak kelahiran Kelantan berkenaan.

Pusat penjaja berkenaan yang terkenal dengan makanan jalanan yang murah dan enak seperti mi Hokkien, mi kuay chap dan mi wantan kini berubah wajah dengan gerai ‘Kelate’ yang diusahakan wanita muda ini.

Nama ‘Kelate’ sempena negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tersebut menyediakan pelbagai juadah pantai timur yang pastinya dapat mengubat kerinduaan anak perantau di Singapura.

Model yang berasal dari Malaysia ini pernah membintangi filem seperti Misteri Dilaila (2019) dan Senario the Movie: Ops Pocot (2011).

“Di Malaysia, masakan Kelantan cukup popular. Namun saya terkejut melihat sambutan yang diterima daripada warga Singapura.

“Asalnya saya hanya memasak secara suka-suka. Suami mempelawa rakan-rakannya ke rumah untuk mencuba masakan saya.

“Saya mencadangkan kami memesan piza, takut-takut mereka tidak menyukai masakan saya, tetapi rupa-rupanya mereka menghabiskan tiga ke lima pinggan laksam seorang. Baik yang berbangsa Cina mahu pun Melayu, orang Singapura gemarkan masakan ini,” katanya memetik laporan portal CNA Insider.

Guna resepi ibu

Demi memelihara kualiti dan keaslian, menu Kelate menampilkan hanya tiga resipi yang telah diajar oleh ibu Sasqia yang berdarah kacukan Thai-Kelantan kepadanya.

Dua hidangan utama Kelate adalah laksam yang merupakan sejenis laksa versi Kelantan, dan mi celup yang merupakan mi sup daging Thai ala Kelantan.

Laksam yang merupakan hidangan paling popular di gerai ini berharga S$4.90 (RM15.20) untuk semangkuk kecil, S$6.90 untuk saiz sederhana dan S$7.90 untuk saiz besar.

Meskipun kuah putih laksam dan gulungan mi putihnya nampak ringkas, penyediaannya bukan mudah. Mi laksam Kelate dibuat oleh Sasqia sendiri. Jelasnya dia mengambil masa kira-kira lima jam membuatnya pada waktu dinihari.

“Mi laksam perlu dikukus dan setiap aspek perlu dibuat dengan teliti termasuk suhunya, jenis pengukus yang kita gunakan dan cara kita menyimpan gulungan laksam ini. Memang laksam digemari ramai dan laku dijual, namun menyediakannya amat sukar.

“Ada kalanya laksam sangat laku sehingga habis terjual pada jam 11 pagi. Pengunjung datang dan membeli 15 hingga 20 pek seorang. Ini bukanlah sesuatu yang kita boleh kawal.

“Hidangan utama yang satu lagi, mi celup, mungkin kelihatan seperti menu sampingan namun tidak kurang hebatnya,” katanya.

Air rebusan hidangan mi ini dibuat daripada tulang lembu dan ayam. Ini memberikan kepekatan dan kelembutan pada rasanya. Mi ini dihidang bersama sawi jeruk dan potongan daging.

Dagingnya lembut kerana Sasqia hanya menggunakan bahagian daging yang khusus.

“Kami hanya menggunakan bahagian daging tertentu. Kami rebus daging ini dengan air rebusan yang banyak untuk menaikkan rasanya,” katanya.

Selain itu, gerai berkenaan turut menyediakan menu pembuka selera, colek malah, sejenis jemput-jemput mengandungi ikan bilis dan sayur yang dihidang bersama pencicah istimewa.

Rangup di luar dan gebu di dalam, colek malah menjadi kesukaan terutama sekali apabila dimakan secara “banjir” dengan sos cili manis berempah yang disediakan.

Menu Kelate ubati kerinduan kampung halaman

Sasqia berkata, hidangan ini mengimbau kenangan di kampung halaman kerana ia merupakan snek minum petang yang biasa di Kelantan.

“Di Kelantan, orang menuang sos ke atas jemput-jemput ini dan makan menggunakan sudu,” katanya.

Kelate telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung di Toa Payoh. Ada juga pelanggan yang datang dari segenap pelusuk Singapura.

Gerai jadi tempat pertemuan perantau Malaysia

Sasqia amat terharu melihat gerai beliau menjadi tempat pertemuan sebahagian rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air akibat wabak Covid-19.

“Bagi sebahagian pengunjung rakyat Malaysia, hidangan kami mempunyai nilai sentimental. Menikmati laksam mengingatkan mereka kepada kisah bersama nenek atau ibu bapa serta pengalaman lain di kampung dan bandar kelahiran.

“Apabila mereka bercerita kisah mereka, saya rasa kerja keras saya selama ini berbaloi,” katanya.

Rakyat Malaysia, Chia Sin Hui berkata, dia mendapati makanan di Kelate mengingatkannya kepada kampung di Kota Bharu Kelantan tetapi telah menetap di Singapura selama 30 tahun.

Chia berkata, laksam yang dipesan mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak.

“Laksam di sini setara dengan apa yang ada di kampung. Memang asli,” katanya.

Sementara itu, di bulan Ramadan, Sasqia menawarkan dua menu baharu iaitu nasi kerabu kuning, sejenis nasi berwarna kuning dicampur ulam-ulaman dan sambal tumis, dan lompat tikam yang merupakan puding beras lembut yang dimakan bersama santan dan gula melaka.

Dia juga meluaskan perniagaannya dengan membuka sebuah dapur berpusat di Clementi untuk penyediaan makanan dan membeli sebuah van syarikat untuk penghantaran.

“Saya suka mengendalikan gerai kecil di pusat penjaja ini. Sebuah restoran tidak memberi kegembiraan yang sama kerana perbezaan standard. Gerai penjaja sesuai untuk semua dan memang niat saya ingin memasak untuk semua.

“Saya berkawan dengan para penjaja lain di sini. Saya gembira menjadi ahli komuniti di sini dan berinteraksi dengan orang ramai, para pelanggan dan penjaja lain. Ini yang saya mahukan,” katanya. – Malaysiapost

Sumber: CNA Insider

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here