Audio tular: Wira Putra gesa Hamzah letak jawatan

0
1

WIRA Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini meggesa Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletak jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri, susulan isu campur tangan dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketuanya Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata rakaman perbualan telefon yang tular dikatakan suara Hamzah berkenaan campur tangan urusan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan PDRM itu, menghilangkan integriti serta menghakis kepercayaan rakyat serta pelabur terhadap keselamatan negara.

Katanya, pendedahan perbualan itu memalukan PDRM dan menjejas keselamatan negara terutama apabila ia membabitkan penglibatan Menteri Dalam Negeri.

“Wira Puta menggesa Hamzah meletak jawatan atau Perdana Menteri wajar membuat pertimbangan dan mengambil satu tindakan tegas bagi mengembalikan integriti PDRM, iaitu dengan menggugurkan beliau selaku Menteri Dalam Negeri atau paling tidak pindahkan beliau ke kementerian lain.

“Pemimpin kerajaan PN akan terus dilihat sebagai penyangak politik selagi mana tiada tindakan diambil lebih-lebih lagi apabila ia telah diakui sendiri melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jawatan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis bukan lesen untuk mengadakan atau membuat keputusan diluar mesyuarat.

“Wira Putra sekali lagi menekankan agar kerajaan segera ambil tindakan sebelum terlambat untuk membuat langkah pembetulan,” katanya.

Semalam, Hamzah mengakui rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM yang tular ketika ini adalah suara beliau.

Malah, beliau berkata, perbualan tersebut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meminta senarai nama pengganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak salah kerana ia di bawah bidang tugasnya selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here