Astro Awani sedia kerjasama dengan polis siasat penyampai berita

0
1

ASTRO Awani sedia memberi kerjasama kepada polis berhubung siasatan terhadap kakitangannya yang didakwa mencemarkan imej polis ketika menyampaikan berita.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Astro Awani mengakui organisasi itu sentiasa berpendirian bahawa institusi kepolisan negara yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu sentiasa dihormati dan dipelihara.

“Sebagai saluran berita utama dan hal ehwal semasa, Astro Awani terus komited bersama memperkukuhkan jalinan kerjasama yang sedia erat antara masyarakat dengan PDRM melalui pemberitaan yang beretika, seimbang dan berkualiti,” kata kenyataan itu.

Semalam, polis membuka kertas siasatan terhadap kes penyampai berita Awani 745 yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Acryl Sani berkata, tindakan pembaca berita itu telah menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa terutama PDRM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here