PELAJAR institusi pengajian tinggi (IPT) yang bakal pulang beraya ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan perlu menjalani pengasingan kendiri di kediaman masing-masing selama enam hari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), semua pelajar terbabit juga perlu menjalani proses pengasingan di kampus sekembalinya mereka dari kawasan yang dikenakan penguatkuasaan PKP.
Bagi pelajar yang memasuki Sabah, KPT berkata, mereka diwajibkan menjalani ujian calitan RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum memulakan pergerakan ke negeri itu.
“Hanya pelajar yang memasuki Sabah perlu menjalani ujian calitan dan ia tertakluk kepada arahan semasa kerajaan negeri.
“Segala kos pergerakan pulang dan kembali ke kampus, termasuk bagi menjalani ujian calitan adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, KPT berkata, pelajar IPT yang menjalani latihan industri dibenarkan pulang dan kembali semula ke tempat latihan mereka selepas tamat cuti Aidilfitri.
“Kebenaran pulang dan kembali ke universiti ini juga melibatkan pelajar yang menetap di luar atau sekitar kampus dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard yang sama,” katanya.
KPT juga mengingatkan kebenaran merentas daerah dan negeri untuk pulang beraya hanya diberikan untuk pelajar sahaja dan tidak termasuk ahli keluarganya.
Para pelajar boleh pulang ke rumah masing-masing mulai 7 hingga 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 hingga 20 Mei depan. – Malaysiapost

