“TOLONGLAH belajar dari India. 17 juta kena Covid-19, 300,000 kes harian, 3,000 kematian sehari. Manusia bergelimpangan di jalan-jalan mengharap bekalan oksigen.”
Itu luahan pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria menerusi ciapan di Twitter beliau semalam, susulan perkembangan terbaharu kes Covid-19 di Malaysia yang kembali meningkat.
“Bagi saya, jalannya cuma satu. Rakyat Malaysia kena bersatu hadapi isu ini dari segala sudut. Ini (Covid-19) musuh kita bersama.
“Kerajaan, pembangkang kena duduk bersama, ketepi politik, tawar solusi bukan saling menempelak. Rakyat kena main peranan tak kira darjat, selamatkan ekonomi, jaga SOP, ikut peraturan.
“Jangan perlekeh usaha sesiapapun biar kecil. Jangan mendabik dada kita saja betul,” ciap pakar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan itu.
Dr Rozanizam juga meminta semua pihak supaya tidak sesekali menjatuhkan moral petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus melaksanakan tugas mereka menjaga rakyat serta mengekang penularan Covid-19.
“Mereka penat. Jangan jadi keyboard worriors yang kerja komen semua isu sedangkan kita sendiri mask di dagu.
“Cikgu penat, Doktor penat, peniaga penat, mak ayah penat, anak-anak penat. Tak ada yang terkecuali. Jadi sama-sama jaga sempadan kita,” katanya.
Beliau juga mengharapkan agar semua pihak mengambil tahu keadaan insan di sekeliling agar mereka yang memerlukan dapat dibantu.
“Tanya khabar orang sekeliling. Bantu seringgit dua yang terkesan. Yang paling penting. Kita munajat pada Allah minta dijauhkan bala. Diberi jalan keluar dari musibah ini. InsyaAllah. Allah lindungi Malaysia,” katanya lagi. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter @/DrRozanizam

