BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan akan terus setia bersama Umno meskipun tidak lagi menerajui kepimpinan Umno negeri itu.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau bukannya orang yang mengejar habuan politik, sebaliknya mementingkan perjuangan dalam memantapkan lagi Umno di Perlis yang terbukti dengan memenangi beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Buat apa saya nak tinggalkan Umno, saya menang pilihan raya dan menjadi calon kedua yang menang dengan majoriti tertinggi di Perlis. Malah, saya menang kerana orang Umno sokong saya dan rakyat juga undi saya.
“Jadi sudah tentu saya tetap setia kepada Umno. Apa yang saya bimbang sekarang ini adalah orang lain yang kecundang pendirian mereka kepada Umno. Apa yang penting di sini saya pernah menjadi ‘komander’ Umno Perlis untuk banyak pilihan raya dan kita menang.
“Persoalan adakah saya akan tinggalkan Umno itu patut ditujukan kepada orang yang baru masuk Umno kemudian diberi habuan. Saya bukan kejar habuan politik tetapi mengejar perjuangan dalam memartabatkan Umno di mata masyarakat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Sementara itu, Shahidan membayangkan kerjasama dengan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis yang baru dilantik, Datuk Seri Azlan Man sebagai sesuatu yang positif dalam memantapkan Umno Perlis.
Bagaimanapun beliau sempat menyindir Azlan apabila menyatakan berharap agar Menteri Besar Perlis itu dapat hadir dalam Mesyuarat Perhubungan Umno negeri di mana sebelum ini Ketua Umno Bahagian Kangar itu didakwa gagal menghadirinya.
“Kalau betul nak bekerjasama… itu sebagai satu yang positif. Cuma saya harap, dulu masa saya jadi pengerusi, mesyuarat selalu tak hadir jadi kali ini harap dapat hadir mesyuarat.
“Saya juga tak mahu komen pasal beberapa akar umbi Umno menolak pelantikan Azlan, paling penting saya nak pastikan seluruh Bahagian Arau menang dengan gagah perkasa pada pilihan raya umum akan datang.
“Insya-Allah, tugas bahagian sekarang ini adalah untuk memilih calon yang akan bertanding dalam pilihan raya. Ini termaktub dalam perlembagaan Umno baharu iaitu menjadi tugas bahagian memberi nama calon pilihan raya. Jadi, akan datang ini kita hendak menang lagi,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan digantikan dengan Azlan. – Malaysiapost

