Tak masuk akal, Nora jawab gosip bernikah dengan Annuar Musa

0
2

PENYANYI terkenal, Datuk Nora menepis gosip yang tersebar luas di laman Twitter kononnya beliau sudah dinikahi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Nora yang masyhur dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu menyifatkan gossip tersebut tidak masuk akal dan mengarut.

Menurutnya, berita gossip itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Muhammad Syakir Iman menyebabkan beliau tergamam.

“Saya tergelak juga bila membacanya, tapi dalam masa sama perkara itu sangat-sangat tidak masuk akal.

“Saya buat keputusan untuk mengabaikannya kerana itu hanyalah gosip semata-mata, tidak pernah berlaku apa yang dikhabarkan,” tegas Nora dipetik Astro AWANI, hari ini.

Terdahulu, tular di Twitter kononnya Nora sudah bernikah, menyebabkan Muhammad Syakir tampil mempertahankan ibunya dengan menafikan Annuar sebagai ayah tirinya kerana ibunya tidak menjadi isteri kedua kepada Ahli Parlimen Ketereh itu.

Dalam pada itu, Nora, 48, yang berasal dari Kelantan mengakui beliau dan Annuar mempunyai pertalian keluarga.

Menurutnya, isteri Annuar, Puan Seri Rosniah Ab Rahman juga beberapa kali pernah memesan juadah yang dijualnya.

“Sangat tak masuk akal. Tolonglah jangan buat fitnah macam ini. Fikirkan hati orang lain, kasihan orang lain akan terpalit dalam cerita tidak betul seperti ini,” kata Nora lagi.

Nora yang kini semakin aktif menjalankan perniagaan makanan menegaskan, sejak kehilangan suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi sekitar empat tahun lalu, beliau masih solo dan gembira dengan kehidupannya di samping anak-anak.

“Saya banyak beri tumpuan pada kerjaya nyanyian, berniaga sikit-sikit, promosi produk di Instagram, masa terluang bersama anak-anak dan cucu. Saya tak terfikir pun soal kahwin,” jelas Nora.

Justeru, Nora memohon pihak yang mencetuskan berita palsu mengenai pernikahan beliau dengan Annuar agar berhenti daripada menyebarkan fitnah itu.

“Dalam bulan penuh kemuliaan ini eloklah kita fokus pada amal ibadat, janganlah sibuk bercakap hal orang lain. Apa pun saya maafkan orang yang menyebarkan berita palsu ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here