PENGARAH Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan seramai 11 pelajar serta seorang guru telah dikesan positif di Sekolah Menengah IMTIAZ Saujana, Setiu, Terengganu pagi tadi.
Beliau berkata, saringan bersasar dilakukan bagi mengesan seramai mungkin individu kes positif di sekolah terbabit.
“Tindakan seterusnya mereka ini akan diasingkan dan diberi rawatan. Dengan cara begini rantaian boleh diputuskan dengan cepat.
“Tidak dinafikan jangkitan Covid-19 di sekolah atau institusi pendidikan lainnya datang dari komuniti sama ada dari pelajar sendiri maupun guru atau pekerja sokongan di sekolah.
“Jika jangkitan dalam komuniti tinggi maka risiko jangkitan menular dalam sekolah juga tinggi. Malah, pergerakan masuk dari komuniti ke sekolah sentiasa ada kecuali berlaku penutupan sekolah,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau mengakui secara amnya, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekolah rendah dan asrama sangat sukar.
“Ia kerana pelajar-pelajar masih kecil, berlari ke sana sini. Bergelut dan berpeluk dengan kawan-kawan. Nama pun budak-budak.
“Selain itu, pematuhan SOP sepenuhnya di asrama pun agak sukar apalagi kalau ada asrama yang agak sesak. Pelajar pun sangat akrab di asrama. Makan sepinggan tidur sekatil tu biasa. Seketul ayam dikongsi ramai pelajar tu pun biasa. Tambah bulan puasa ni,” katanya.
Namun, katanya, ada langkah pencegahan dan boleh diamalkan di sekolah dan institusi pendidikan bagi mencegah jangkitan di sekolah serta penularan yang lebih besar.
Langkah-langkah berikut adalah:
- Pastikan guru, pelajar atau pekerja sokongan lain jika bergejala, jangan hadir ke sekolah.
Jika diketahui mereka mempunyai kontak kepada kes positif, jangan hadir ke sekolah dan terus membuat pemeriksaan di klinik terlebih dahulu.
- Pastikan ada pematuhan SOP bila anjurkan program melibatkan ramai pelajar.
Penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka mesti diamalkan semasa program berlangsung.
- Semua warga sekolah sepatutnya mengamalkan pemakaian topeng muka semasa berada di sekolah.
- Jika guru tidak selesa pakai topeng muka apabila mengajar, boleh pakai ‘face shield’.
Ini boleh mengelakkan titisan pernafasan atau air liur dari terkena pelajar atau permukaan dalam kelas.
Beliau berkata, pihaknya memahami guru perlu bersuara kuat supaya boleh didengari oleh semua pelajar dalam kelas.
“Walaubagaimanapun guru pun kena sentiasa jaga jarak dengan pelajar termasuk masa sesi Tasmek. Ada Guru menjangkiti pelajar masa kelas Tasmek. Bukan seorang.
“Lagipun guru bukan mengajar satu kelas sahaja. Ada yang pegang sampai enam kelas. Ini juga faktor kenapa penularan boleh berlaku dengan cepat kepada beberapa kelas,” jelasnya.
Tambahnya lagi, guru juga harus menjaga pergaulan di dalam bilik guru supaya dapat mengelakkan jangkitan Covid-19.
“Kita pun faham bilik Guru mungkin tak besar mana tapi molek diusahakan serta tempat common area seperti tandas, bilik rehat, library atau tempat yang sentiasa digunakan kena sentiasa dibuat sanitasi.
“Sentiasa basuh tangan perlu diterapkan dikalangan pelajar. Jika mampu boleh sediakan ‘hand sanitizer’ yang sentiasa ‘available’ di kawasan common area dan sangat bagus jika ketua kelas atau ketua asrama di ’empower’ untuk melaporkan pelajar yang bergejala supaya pengasingan dapat dibuat segera.
“Memang kita tak kata semua yang bergejala adalah Covid-19 sehingga disahkan. Tapi sekiranya cakna tu lebih maka jangkitan besar di sekolah boleh dielakkan,” katanya. -Malaysiapost

