Penutupan sekolah di Sarawak dilanjutkan

0
1

KERAJAAN Sarawak mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah dan semua kategori institusi pendidikan swasta (IPS) dari 4 hingga 10 Mei ini.

Sebelum ini, semua sekolah yang terletak di zon merah Covid-19 di negeri itu diarahkan tutup selama dua minggu bermula dari 20 April lalu, lapor Bernama.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, hanya pelajar tingkatan enam yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester Tiga (Gantian) dibenarkan hadir ke sekolah sehingga 27 Mei ini.

Hari ini, Sarawak merekodkan 416 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 29,377 kes dan enam kes kematian baharu direkodkan, sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 171 orang.

Dalam kenyataan yang sama, Jabatan Kesihatan Sarawak telah mengisytiharkan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Ulu Strass di Meradong dan Kluster Melugu di Sri Aman.

“Kluster Ulu Strass merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk sebuah rumah panjang di KM2, Jalan Pakan di kawasan Ulu Strass di Meradong.

“Kluster Melugu pula kluster melibatkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan yang dikesan di sebuah sekolah menengah di Sri Aman,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di kawasan projek pembinaan Hidroelektrik Baleh di Kapit bermula 26 April hingga 23 Mei ini.

Tempoh PKPD di tiga rumah panjang di Sarikei iaitu Rumah Japam, Rumah Johnson dan Rumah Junis dilanjutkan dari 27 April hingga 10 Mei ini, sementara Rumah Bajak di daerah Julau berkuatkuasa 28 April hingga 8 Mei ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here