POLIS memaklumkan penjualan bunga api musim perayaan bagi Hari Raya Aidilfitri tahun ini dibenarkan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Datuk Mat Kasim Karim berkata, bagi yang melanggar syarat, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Peringatan kepada semua pihak yang menjalankan perniagaan ini supaya mematuhi SOP dikeluarkan oleh polis dan pihak berkuasa bagi mengekang pandemik Covid-19 termasuki individu yang hendak bermain bunga api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarat yang perlu dipatuhi peniaga kecil atau peruncit dan pasaraya ialah:
- Warganegara Malaysia sahaja.
- Lesen berniaga yang mengandungi senarai bunga api jenis “Happy Boom” dan “Pop-Pop” hendaklah dipamerkan bagi tujuan pemeriksaan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
- Tempoh jualan hanya dibenarkan selama 30 hari sahaja (15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan) tertakluk kepada kelulusan dan budi bicara Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis Negeri.
- Penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya atau pusat membeli belah adalah dibenarkan dengan bersyarat:
i. Mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui oleh Bahagian Pensenjataan Polis.
ii Mempunyai lesen perniagaan (SSM) dan permit polis.
- Peniaga kecil dan bazar juga dibenarkan dengan bersyarat:
i. Mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui oleh Bahagian Pensenjataan Polis.
ii. Mempunyai kebenaran (permit/lesen/kupon/surat rasmi) berniaga daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan permit polis.
- Perniagaan runcit seperti 7-Eleven, 99 Speedmart, Mr DIY dan lain-lain yang seumpamanya hanya dibenarkan menjual satu jenis bunga api sahaja iaitu Pop-Pop dan mempunyai permit polis. – Malaysiapost

