KPM mahu sekolah diasingkan daripada Kluster Pendidikan

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan komponen institusi berkaitan kementerian itu dalam Kluster Pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, pada peringkat awal apabila disebut Kluster Pendidikan, ia merangkumi semua kes sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT), institut latihan, sekolah kerajaan dan swasta, Maahad serta Tahfiz.

Sehubungan itu, katanya, KPM telah berbincang dengan KKM bagi memohon agar Kluster Pendidikan yang berkait dengan institusi di bawah pendidikan diletakkan berasingan.

“Ini bagi membolehkan kita mendapatkan maklumat yang jelas apa sebenarnya yang berlaku dalam konteks Kluster Pendidikan. Kalau kita masukkan semua sekali dan disebut sebagai Kluster Pendidikan, masyarakat akan melihat seolah-olah itu semuanya berkaitan dengan sekolah,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut data KKM, jumlah kes dalam konteks Kluster Pendidikan melibatkan institusi di bawah kementerin itu adalah sekitar dua peratus daripada keseluruhan kes kluster berkenaan.

“Apa yang ingin saya jelaskan dalam konteks kes mengikut data KKM bahawa lebih 60 peratus kes di berlaku di luar kluster, iaitu tidak berkait mana-mana kluster. Ia komuniti… maka bakinya adalah kes kluster, iaitu hampir 40 peratus tapi hanya dua peratus sahaja berkaitan dengan KPM.

“Sebab itu saya ingin jelaskan lagi bahawa dalam konteks ini sebenarnya anak kita, guru-guru mereka terdedah kepada risiko jangkitan seperti rakyat lain. Maknanya kalau dia tidak pergi sekolah, mereka terima jangkitan dari luar.

“Jadi, cara nak menangani penularan Covid-19 dalam sekolah ini apabila berlaku di sekolah, KPM akan laksanakan ‘mapping’ untuk lihat di mana jangkitan ini berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi berkata, sebuah jawatankuasa ditubuhkan di sekolah berasrama bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) diperketatkan dan diperkukuhkan demi keselamatan pelajar.

“Justeru ‘Task Force’ atau Jawatankuasa ditubuhkan di sekolah asrama bagi memastikan SOP dapat diperketatkan di kawasan terbabit.

“Malah, ianya juga diperkukuhkan bagi memastikan pelajar-pelajar di sekolah asrama termasuk harian dapat ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara paling penting adalah pematuhan SOP bagi menangani penularan jangkitan Covid-19 di sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here