KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kompaun RM50,000 terhadap dua peniaga di Kota Bharu, Kelantan kerana berniaga melebihi masa boleh dirayu menggunakan dengan alasan munasabah.
“Itu bukanlah ‘hukuman mati’ (bukan muktamad), saya sudah berkali-kali nyatakan mereka boleh merayu (kepada Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Ia bukan ‘mati’ di situ, boleh merayu dan berikan faktor-faktor yang boleh dimaafkan atau diringankan jumlah kompaun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mendapatkan perincian sebenar mengenai kejadian itu.
“Saya hendak mendengar kedua-dua belah pihak, saya percaya anak buah saya lakukan kerja itu dengan ikhlas tetapi mereka yang terkesan tadi rasa ia tidak adil,” katanya.
Terdahulu, tular kes seorang peniaga burger mendakwa dikompaun RM50,000 kerana berniaga lebih masa ditetapkan, walaupun gerai di depan rumah.
Satu lagi kes membabitkan pasangan suami isteri yang berniaga colek di depan rumah mereka juga kerana beroperasi melebihi masa yang dibenarkan. – Malaysiapost

