Polis sanggah laporan ‘hanya sekadar gurauan’

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan kenyataan ‘mungkin gurauan’ oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung kes pelajar perempuan diugut rogol, tidak bermaksud isu berkenaan ‘hanya sekadar gurauan’.

Sebaliknya menurut PDRM, perkataan ‘mungkin gurauan’ yang disebut Acryl Sani sebagai respon kepada pertanyaan wartawan, telah digambarkan secara salah serta mengelirukan.

PDRM menerusi kenyataan berkata tajuk laporan Malaysiakini dan China Press amat mengelirukan kerana tidak memberi gambaran tepat mengenai kenyataan sebenar dibuat semasa sidang media.

Jelas PDRM, tajuk laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respon dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan, adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Malah, ia boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, mencemar kredibiliti siasatan serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes tersebut.

“Tiada mana-mana aspek dalam kes berkenaan yang pernah dianggap sebagai ‘gurauan’ dan PDRM memandang serius setiap laporan polis serta sentiasa memberi komitmen bagi menjalankan siasatan terperinci.

“Kebertanggungjawaban pihak media dalam melaporkan kes sebegini amat diperlukan bagi mengelak persepsi salah terbentuk dalam kalangan masyarakat sebelum proses siasatan diselesaikan,” katanya.

Berikut transkrip penuh kenyataan Acryl Sani dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 26 April 2021:

“Setakat ini yang saya diberitahu, pelajar berkenaan telah membuat dua laporan polis. Yang pertama, beliau membuat laporan berkaitan dengan apa yang beliau rasakan, pendekatan guru tersebut tidak begitu proper. Dan yang kedua, malam semalam beliau juga membuat laporan tambahan berkaitan dengan mungkin gurauan daripada rakan sedarjahnya yang beliau tidak dapat terima.

“Jadi walau bagaimanapun, kedua-dua laporan itu telah kita satukan dalam satu siasatan, sebab melibatkan satu lokaliti dan kita sedang mengambil keterangan daripada mereka yang berada di tempat kejadian tersebut.

“Kita telahpun ambil keterangan daripada guru sekolah tersebut. Daripada pengadu juga kita sudah ambil keterangan dan sekarang ini pegawai penyiasat sedang giat mengambil rakaman percakapan daripada rakan-rakan sedarjah yang untuk dijadikan sebagai keterangan tambahan dan sokongan untuk kita kemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.” – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook PDRM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here