Pelampau politik lebih rakus daripada pelampau agama letupkan bom

0
2

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pelampau politik lebih rakus daripada pelampau agama yang meletupkan bom.

Katanya, kerakusan golongan itu lebih teruk daripada golongan pelampau agama yang meletupkan bom dan membunuh dengan jumlah yang jauh lebih kecil dibandingkan dengan mangsa wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia ketika ini.

“Banyak diwar-warkan berita tentang adanya golongan pelampau agama. Akan tetapi, ramai terlepas pandang hari ini muncul pula golongan pelampau politik, sehingga melupakan nyawa manusia demi mencapai agenda politik mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata di Malaysia kini muncul kumpulan yang menentang perintah darurat kesan penularan pandemik tersebut, seolah-olaah mereka tidak berada di planet bumi yang dilanda wabak itu.

“Alasannya hanyalah lebih bersifat politik untuk mengintai agar mendapat kuasa yang terlepas, laksana ayam terlepas tangannya berbau,” katanya

Selain Pakatan Harapan, Umno yang merupakan rakan sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN) juga mendesak proklamasi darurat ini ditamatkan segera.

Bagaimanapun menurut Abdul Hadi, PAS melihat desakan itu adalah retorik politik semata-mata.

“Namun, mereka langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang, dengan mengambil langkah politik sepanjang masa, tanpa mempedulikan terhadap bahaya wabak yang memakan korban di seluruh dunia.

“Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam politiking,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, walaupun faktor ekonomi dan keselamatan juga dijadikan alasan, tetapi perkara tersebut hanyalah sekadar batu pelindung nafsu politik mereka yang sudah melampau.

“Namun, masih tidak boleh meninggalkan perangai politik gila yang melampau kerana telah kehilangan kuasa dalam khayalan berebut kuasa antara satu sama lain dalam kumpulannya.

“Sehingga merancang langkah politik laksana jerung lapar yang bersembunyi di sebalik batu kerana sukar untuk mendapatkan semula kuasa dengan segala cara yang benar dan bohong.

“Namun, jerung yang besar dan ganas itu tidak mudah untuk berlindung seperti udang di sebalik batu,” catatnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here