Mahdzir jelaskan sebab Tok Mat tak hadir mesyuarat MKT

0
1

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam kerana sedang berehat selepas menjalani satu pembedahan kecil.

Perkara itu dijelaskan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi satu komen balas pada hantaran Facebooknya hari ini.

“Kepada sahabat-sahabat maya yang bertanyakan mengapa Tok Mat Hassan tidak hadir, beliau kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan kecil.

“(Perkara itu) sudah dimaklumkan kepada YB Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Susulan ketidakhadiran Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, timbul spekulasi kononnya beliau memboikot mesyuarat MKT semalam.

Malah ada dalam kalangan pengikut Facebook Mahdzir bertanya mengapa Tok Mat tidak hadir hingga menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk kononnya kepimpinan Umno berpecah dua.

Mesyuarat MKT Umno petang semalam antara lain memutuskan Umno akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini.

Selain itu, mesyuarat MKT memutuskan mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here