Hentikan fitnah saya dan KJ bergaduh besar – Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak tertentu menghentikan fitnah kononnya beliau dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bergaduh besar.

Beliau sebaliknya melahirkan rasa hairan kenapa parti pimpinannya terus digasak oleh musuh politik meskipun tidak lagi menerajui tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, musuh Umno tidak pernah berputus asa dengan menabur pelbagai fitnah agar perpaduan dalam kalangan ahlinya menjadi rapuh.

“Ramadan bulan suci ini sepatutnya dijadikan medan untuk meningkatkan amal takwa bukannya terus menaburkan fitnah. Bukan apa, bimbang suatu hari nanti akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT.

“Walaupun Ramadan 1442H sudah menjengah hari ke-13, saya melihat masih ada pihak tertentu yang menaburkan fitnah kononnya Umno memiliki masalah dalaman.

“Kononnya saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) bergaduh besar di bulan Ramadan. Sudah-sudahlah, hentikanlah tabiat buruk itu,” catatnya di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut berkongsi tangkap layar sebuah pautan video kononnya memaparkan maklumat beliau bergaduh besar dengan Khairy.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan bahawa akar umbi merupakan tunjang kekuatan Umno sejak parti itu ditubuhkan.

“Umno sejak dahulu ikatannya sangat kuat. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tetapi ia bukan asbab untuk kami berpecah. Apatah lagi akar umbi dan perwakilannya sangat mempercayai satu sama lain.

“Ahli-ahli Umno sangat matang. Mereka boleh menilai strategi politik busuk yang mahu menghancurkan Umno. Ahli-ahli Umno tidak gilakan kuasa. Walaupun dalam situasi sukar, kesetiaan dan keikhlasan mereka sangat besar,” katanya.

Sementara itu, tanpa menyebut nama, Ahmad Zahid mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang berterusan menghina Umno biarpun parti itu telah membantu sehingga tertubuhnya kerajaan baru pada Mac 2020.

Katanya, bukan Umno yang patut diberikan tumpuan, sebaliknya tumpuan patut diberi kepada rakyat dan negara yang sedang bergelut memerangi pandemik Covid-19.

Tambah Ahmad Zahid, ancaman kepada kerajaan ketika ini adalah Covid-19 bukannya Umno.

“Walaupun kami memberikan dokongan membentuk kerajaan, pihak berkaitan masih menghina Umno. Melabelkan pimpinan parti ini sebagai binatang. Adakah ini amalan yang mulia di bulan Ramadan?

“Sepatutnya jika mahu memenangi hati rakyat dan pengundi, tunjukkanlah tadbir urus yang baik. Wujudkan peluang pekerjaan yang banyak, rancakkan semula ekonomi, tarik semula pelaburan langsung asing.

“Maka uruskan virus ini bukannya parti kami. Saya pelik mereka terlalu gentar dengan Umno sehingga lupa laporan harian Covid-19 terus mencatatkan peningkatan ribuan kes.

“Atau tetapkan dasar yang tepat ketika pandemik ini dan jangan flip flop. Kendalikan kes Covid-19 secara berkesan selain segerakan pemberian vaksin. Jika ini berlaku nescaya rakyat akan suka. Apa yang penting tampilkan politik matang,” catatnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here