DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan menutup institusi pendidikan selama empat minggu agar kluster pendidikan dapat dihentikan secara keseluruhan.
Ketua Pemudanya Shahir Adnan, berkata namun begitu kerajaan perlu bersedia menyediakan kembali sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar anak-anak tidak tercicir.
“Malangnya, sehingga hari ini, masih tiada sinar untuk anak-anak kita mendapatkan 150,000 komputer riba yang dijanjikan pada Belanjawan 2021 yang kemudiannya diperjelaskan komputer itu diberikan dalam bentuk pinjaman.
“Adakah kerajaan bersedia dan belajar daripada pelaksanaan PdPR 1.0 dan 2.0 sebelum ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahir berkata, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin masih tidak mengeluarkan sebarang pelan tindakan bagi menghentikan penularan kluster pendidikan Covid -19 di sekolah-sekolah.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan di sekolah adalah sehabis baik namun jelas tidak berhasil dalam menangani Kluster Pendidikan yang membimbangkan.
Sebelum ini, laporan harian kes Covid-19 di negara menunjukkan peningkatan kluster baharu, terutama kluster pendidikan yang melibatkan keselamatan murid sekolah rendah dan menengah.
Data menunjukkan lima kluster pendidikan dilaporkan semalam daripada lapan kluster baru.
Dalam tempoh seminggu, sebanyak 24 kluster pendidikan dilaporkan.
Sementara itu, Shahir berkata, keadaan tersebut membimbangkan ibu bapa kerana umum mengetahui bahawa vaksinasi Covid-19 tidak akan diberikan kepada yang berumur 18 tahun ke bawah. – Malaysiapost

